SAYA tersenyum membaca kisah sebuah keluarga yang
membatalkan perkahwinan anak perempuan mereka kerana bakal menantu
mereka gagal menjawab soalan mudah.
Apabila ditanya 15 + 6 jadi berapa, dia menjawab 17. Pengantin
perempuan menangis, bukan kerana bakal suaminya itu tidak cerdik, tetapi
kerana selama ini keluarga lelaki itu terlalu merahsiakan tahap
pendidikan anak mereka.
Kalau belum kahwin pun sudah banyak kelentong, bayangkan apabila kahwin entah banyak mana lagi temberangnya.
Sebenarnya hidup menjadi sejahtera jika wujud sangka baik dan pemikiran
positif, namun kes seperti di atas boleh dianggap terpencil.
Menyebut pasal fikiran positif, teringat kepada temu bual saya dengan Dr Hamka, di Kuala Terengganu, pada 1980.
Dalam satu wawancara, saya bertanya kepada penulis, pendakwah dan ulama
besar Indonesia itu apa perasaannya apabila dihukum penjara dua tahun
empat bulan pada 1964 kerana dituduh pro-Malaysia.
Beliau boleh menyalahkan pendakwanya, tetapi Hamka memilih untuk
melihat dari sudut positif apabila beliau menjawab: “Syukur (kerana
masuk penjara), saya boleh siapkan tafsir al-Quran (iaitu Tafsir
al-Azhar, karya ilmiah terbesar Hamka).”
Ketika berceramah dalam Masjid Putih di bandar Kuala Terengganu,
seorang pemuda bertanya beliau mengenai kegiatan mungkar di negara itu.
Kata pemuda itu, Hamka merupakan ulama besar di Indonesia, tetapi maksiat berleluasa di sana. Jadi, apa Bapak Hamka buat?
Soalan pemuda itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan para hadirin. Beberapa orang menegurnya.
Saya berada di situ dan terfikir, sebagai ulama, pendakwah, pemidato
dan penulis terkenal di seluruh dunia, mudah bagi Hamka mematahkan hujah
itu.
Tetapi Hamka memilih untuk berkata: “Alhamdulillah, hari ini saya
belajar perkara baru daripada tuan”. Senyap sunyi suasana masjid dengan
jawapannya itu.
Kita juga biasa mendengar kisah bagaimana Nabi Muhammad SAW luka dibaling batu apabila Baginda berdakwah di Taif.
Tetapi apabila Baginda ditawarkan Jibrail untuk memusnahkan mereka yang mencedera dan menghinanya, Baginda menolak.
Sebaliknya, beliau berdoa, antaranya: “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada kaum ku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”
Demikianlah sebahagian daripada teladan berkaitan sangka baik dan
berfikir positif yang boleh kita jadikan pengajaran dalam hidup.
Beberapa jiran saya bukan Islam. Rumah mereka tidak lebih 150 meter dari surau.
Mereka mendengar laungan azan lima kali sehari dari seawal 6 pagi melalui pembesar suara, sejak lebih 20 tahun lalu.
Yang menarik, bukan sahaja mereka tidak pernah buat bantahan, malah melihat perkara itu dari sudut positif.
Mereka memberitahu mereka menganggap azan, terutama Subuh, sebagai jam
penggera untuk membantu mereka bangun dan bersiap ke pejabat.
Ada beberapa rakan lagi yang melihat masalah mendapatkan tempat parkir dengan pandangan yang positif juga.
Mereka tidak melihat parkir di kawasan yang jauh dari destinasi sebagai
masalah, tetapi menganggap berjalan 300 meter antara tempat parkir dan
destinasi sebagai senaman.
Sebenarnya, hidup kita lebih tenang dan gembira jika kita sentiasa
melihat masalah dari sudut positif. Kita terima sebagai ujian dan
cabaran, bukan sebagai perkara yang memberikan tekanan. Jika tidak,
hidup kita boleh jadi tertekan dan letih.
Seorang rakan yang sakit yang saya ziarah di rumahnya tidak lama dahulu
mengakui kesan buruk daripada berfikiran negatif dan buruk sangka.
Benarlah kata orang, jangan buruk sangka kerana buruk sangka boleh
merosakkan jiwa!
Rakan saya itu percaya dia sakit kerana tertekan akibat banyak
menghabiskan masa melayan fikiran tentang masalah, buruk sangka, marah
dan menaruh dendam dengan ramai orang di sekelilingnya.
Setelah sembuh, dia memberitahu, dia sudah berazam untuk mula melihat
keadaan sekeliling dengan pandangan positif, tanpa ada perasaan buruk
sangka lagi. Syukur, dia nampak lebih sihat, tenang dan ceria.
Untuk renungan: "Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada
prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan
janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain - Al-Hujuraat:12
sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/farush-khan/buruk-sangka-boleh-merosak-jiwa-1.369941
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.