ALOR SETAR - Beberapa penggali kubur terkejut apabila menemui keranda
dan jenazah masih sempurna walaupun sudah dikebumikan hampir 15 tahun
lalu ketika kerja menggali kubur dilakukan di Tanah Perkuburan Islam
Masjid Al-Irfan, Derga di sini, kelmarin.
Penggali kubur, Mansor Ahmad, 57, berkata, mereka mendapat arahan dari
pihak pengurusan tanah perkuburan masjid terbabit untuk menggali bagi
mengebumikan jenazah baru bersebelahan kubur berkenaan.
Menurutnya, pihaknya menggali kubur kepada seorang saudaranya yang
meninggal dunia kerana sakit jantung untuk dikebumikan bersebelahan
dengan kubur terbabit.
"Selepas menggali tanah sedalam satu meter, tiba-tiba tanah
bersebelahan itu runtuh dan kami mendapati sebuah keranda yang masih
sempurna di dalamnya. Kami terkejut kerana difahamkan kubur itu sudah
lama dikebumikan iaitu kira-kira 15 tahun lalu.
"Bagaimanapun keranda itu masih sempurna seperti baharu sahaja
dikebumikan. Apa yang pelik ialah kami melihat keranda itu berada di
dalam ruang yang kosong dan tanah tidak pula menutupi keranda itu,"
katanya kepada Sinar Harian.
Kain kafan masih putih
Mansor berkata, bagi memastikan keadaan jasad terbabit, dia membuka
keranda itu dan melihat jenazah masih lagi sempurna dan tilam yang ada
di dalam bagi melapik jenazah masih lagi kelihatan seperti baru.
"Oleh kerana kerja menggali kubur terpaksa dilakukan, saya memegang
jenazah dan menolak keranda itu masuk ke dalam dan merasai jasad
terbabit seperti baru dikebumikan," katanya.
Katanya, kain kafan jenazah pula masih lagi putih dan tidak berbau.
"Pengalaman itu merupakan kali kedua saya alami sejak menjadi penggali kubur hampir 40 tahun di tanah perkuburan ini.
"Sebelum ini, pada 1980-an, saya serta beberapa rakan pernah terdengar
ketukan sesuatu dari dalam kubur hingga menyebabkan imam terpaksa
dipanggil bagi menyelesaikannya," katanya.
Menurutnya, jenazah masih sempurna ditemui itu ialah seorang guru, Mohd
Najib Abdullah yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di
Mersing, Johor dan jenazah dibawa pulang dari Mersing dan dikebumikan di
situ.
Syukur kebesaran ALLAH SWT
Sementara itu, bapa Allahyarham, Abdullah Omar, 75, dari Kampung Alor
Melong di sini, berkata, semasa keluarganya mendapat tahu tentang
keadaan jenazah anaknya itu, dia sungguh terharu dan bersyukur dengan
kebesaran ALLAH SWT.
Katanya, semasa kerja menggali kubur dilakukan, seorang daripada
anaknya juga turut berada di situ melihat kerja dan terkejut apabila
melihat jenazah abang sulung mereka masih sempurna.
"Pada masa itu, semua yang ada di situ tergamam melihat kubur yang
sekian lama itu masih lagi sempurna apatah lagi keranda itu seperti
berada di dalam gua.
"Seorang dari anak saya bersyukur kerana inilah pengalaman pertamanya
melihat jenazah lama yang masih lagi sempurna apatah lagi darah daging
mereka sendiri," katanya.
Abdullah berkata, semasa arwah dikafankan serta dibawa pulang dengan
kenderaan jenazah dahulu, pemandu kenderaan terbabit memaklumkan
kepadanya bahawa sepanjang perjalanan dari Mersing, dia sentiasa
terhidu bau wangi di dalam kenderaan sehinggalah tiba di kampungnya.
"Bagaimanapun pada masa itu pakcik hanya mendengar sahaja dan berdiam.
Tetapi dengan peristiwa ini, sekali lagi ALLAH SWT menunjukkan kebesaran
terutama kepada kita yang masih hidup ini," katanya.
Al-Quran jadi teman rapat
Menurutnya, semasa meninggal dunia, anaknya itu berusia 29 tahun dan
dia seorang yang pendiam serta tidak banyak bercakap tetapi suka
menolong saudara-mara dan rakan-rakannya.
"Dia tidak pernah ingkar arahan jika diberikan tanggungjawab malah
kerap membantu ibunya di dapur. Sebelum menjadi guru, dia pernah tinggal
di Maahad Tahfiz Al-Quran Derga selama beberapa bulan dengan bekerja
sebagai warden di situ.
"Selain itu, arwah anak saya juga turut mengajar akademik kepada
pelajar tahfiz di situ serta turut menjadi imam. Al-Quran merupakan
teman rapatnya walaupun dia tidak menghafalnya," katanya.
Mansor berkata, semasa arwah anaknya itu menetap di maahad terbabit,
pelajar di situ sangat sukakannya sehingga setiap kali tibanya musim
cuti persekolahan, dia akan pulang melawat pelajar serta sentiasa
prihatin dengan pengajian mereka.
"Di antara anak didiknya di maahad terbabit ialah bekas Adun Bukit Lada, arwah Ahmad Izzat Shauki,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.