- Yusof (kiri) dibantu rakannya, Ismail Nur Mohamad, 27, memunggah televisyen rosak untuk dijual di kedai barangan lusuh di Kuala Terengganu.
Bagi sebahagian daripada kita, sampah sudah pastinya adalah barangan buangan yang kotor dan menjijikkan, tetapi bagi sesetengah orang termasuk Yusof serta keluarganya, rezeki mereka sebahagian besar datangnya daripada longgokan sampah.
Dia yang berhijrah ke negara ini kira-kira 15 tahun lalu, mampu meraih pendapatan melebihi RM500 sebulan bagi membesarkan tiga anaknya berusia 3 hingga 17 tahun termasuk membayar sewa rumah serta keperluan lain.
“Banyak barang bernilai dalam longgokan sampah. Saya mencari barang-barang terbuang seperti tin, besi dan peralatan elektrik. Saya boleh dapat sebanyak RM30 hingga RM50 sehari dan pendapatan kadangkala lebih RM500 sebulan.
“Bagaimanapun, saya tidak bekerja setiap hari. Kalau malas saya dapat sikit, tapi kalau rajin saya akan dapat pendapatan agak lumayan untuk membesarkan anak-anak serta membayar sewa rumah dan menyediakan keperluan lain,” katanya.
Tidak mahu simpati
Yusof berkata, pada awal kedatangannya pada 1998, dia tidak terlibat dengan kerja-kerja mencari sampah, sebaliknya melakukan pelbagai kerja lain seperti buruh kontrak dan sebagainya.
“Ketika itu saya buntu memikirkan cara hendak mencari duit dan kebetulan ada ramai kawan mencari barangan lusuh. Saya pun mula mencari barangan lusuh daripada longgokan sampah selepas tinggal di daerah ini dan menjualnya.
“Dari situ saya tidak berfikir panjang untuk mencari pelbagai barangan boleh dijual semula dalam longgokan sampah kerana pendapatannya agak lumayan,” katanya yang menjadikan sebuah motosikal roda tiga sebagai tempat meletakkan barang.
Setelah mendapat barang-barang agak bernilai, Yusof akan membawa balik semua barang dikutip itu ke rumahnya di Rusila, di sini, untuk diasingkan ke dalam plastik dan kemudiannya dijual ke kedai barangan lusuh di Kuala Terengganu.
“Saya buat kerja ini kerana tidak mahu meminta simpati daripada masyarakat. Selagi tulang empat kerat saya terdaya, saya akan bekerja untuk mencari rezeki halal,” katanya.
Makin banyak persaingan
Yusof berkata, suatu ketika dahulu, dia boleh mendapat pendapatan lumayan hasil jualan barangan lusuh, namun kini pendapatan makin kurang kerana banyak persaingan.
“Kini ramai sangat orang mencari sampah, jadi saya perlu berusaha lebih sedikit untuk mendapatkan kawasan longgokan sampah yang baru di sekitar daerah ini,” katanya.
Ketika ditanya tidakkah timbul perasaan jijik di hatinya apabila menyelongkar dan mengasingkan semua sampah-sampah ditemuinya itu, Yusof berkata, sekiranya ada perasaan tersebut, sudah pasti mereka akan hidup susah di bumi bertuah ini.
“Sebenarnya di mana-mana sahaja di bumi ALLAH ini ada rezeki halal. Kita hanya perlu rajin berusaha. Malah, saya dan rakan-rakan yang datang ke negara ini tidak sewajarnya memilih kerja, asalkan kerja itu adalah halal,” katanya.
Yusof dan rakan-rakan khususnya yang datang sebagai pelarian dari Myanmar, sukar untuk mendapatkan pekerjaan tetap kerana mereka hanya memegang kad UNHCR.
Difahamkan, pemegang kad UNHCR warga Myanmar tinggal di negara ini atas ihsan sementara menunggu UNHCR mengusahakan penempatan ke negara ketiga kepada pelarian negara itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.