KOTA BHARU - Penuntut Perubatan Universiti Zagazig, Mesir, Muhammad
Syafiq Abdullah Hashim yang parah akibat kemalangan di negara itu,
September lalu, kini hampir 90 peratus sembuh, berkat amalan membaca
al-Quran.
Bapanya, Abdullah Hashim Omar, 69, berkata, walaupun pakar dan pegawai
perubatan yang merawat anak ketujuh daripada lapan beradik itu meminta
dia dan isteri, Nor Hayati Mahmood, 59, bersedia kehilangan Muhammad
Syafiq, namun mereka tidak pernah putus asa berdoa dan berikhtiar.
“Tidak ada apa yang dilakukan, selain membaca al-Quran sepanjang masa,
di samping melakukan solat sunat dan hajat memohon kesembuhan buat
Muhammad Syafiq.
“Naluri saya dan isteri begitu kuat mengatakan anak kami akan kembali
seperti sebelumnya. Alhamdulillah, ALLAH SWT makbulkan doa kami dan
seluruh dunia yang turut berdoa untuk Muhammad Syafiq,” katanya kepada
Sinar Harian di rumahnya di Ketereh, semalam.
Abdullah Hashim yang juga pesara guru Yayasan Islam Kelantan (Yik)
berkata, hampir dua bulan menemani anaknya yang koma akibat kemalangan
itu, hanya al-Quran menjadi peneman setianya dan isteri.
“Bukan sahaja kami, malah pakar dan pegawai perubatan yang
bertanggungjawab merawat anak kami turut terkejut dengan perkembangan
positif ini kerana mereka sendiri tidak pernah meletakkan keyakinan
untuk Muhammad Syafiq sedar,” katanya yang juga guru al-Quran.
Menurutnya, anaknya itu sedar daripada koma pada 30 Oktober, jam 4.15
petang (waktu Malaysia), namun Muhammad Syafiq tidak mengenali orang di
sekeliling termasuk ibu bapa dan rakannya.
Sementara itu, Muhammad Syafiq berkata, fikirannya kosong ketika
pertama kali membuka mata selepas ‘tidur’ dalam tempoh panjang, malah
dia mengambil masa beberapa hari untuk mengenali ibu bapa dan rakan,
sebaliknya mengenali jururawat dan doktor yang merawatnya.
Dalam kejadian 4 petang (waktu Malaysia) 4 September lalu, Muhammad
Syafiq parah, manakala tiga rakannya, Muhammad Miftahuddin Sufiyan,
Muhammad Aizuddin Abdul Razak dan Shukri Muslim Maulana Mahamad Anuar
cedera selepas tayar teksi yang dinaiki, dalam perjalanan pulang ke
Zagazig dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah meletup sebelum
kenderaan itu terbabas di Jalan Bilbis, Kaherah.
Muhammad Syafiq mengalami pendarahan dalam otak dan retak tulang
belakang, koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sepanjang tempoh
berkenaan sebelum dibenarkan pulang pertengahan November lalu, dan
kembali ke Malaysia, kelmarin.
Muhammad Syafiq membaca catatan yang dibuat bapanya sejak hari
pertama dia terlibat dalam kemalangan tersebut sehingga dua hari sebelum
mereka berangkat pulang ke Malaysia, Ahad lalu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.