Wednesday, June 19, 2013

Kekurangan diri jadi kekuatan si bapa

Kekurangan diri tidak dijadikan alasan untuk Suhairi Abdullah, 55, melupakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga kepada isteri dan dua anak perempuannya berusia 23 dan 17 tahun.
Biarpun tidak mampu berjalan kerana lumpuh dari bahagian pinggang ke kaki, kekurangan diri itu dijadikan kekuatan untuknya meneruskan hidup agar keluarganya dapat menjalani kehidupan dalam keadaan sempurna seperti orang lain.
Kemahiran menjahit yang dipelajarinya ketika berusia 14 tahun dijadikan panduan untuk dia mencari sumber pendapatan sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada ahli keluarga yang lain.

“Saya memulakan sesuatu yang baru selepas tamat kursus menjahit di Pusat Pemulihan Orang Cacat (kini dikenali Pusat Latihan Cheras).
Foto 
SUHAIRI dan Rohani sama-sama menjalankan perniagaan menjahit.

“Ketika itu, saya buat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dari Perak bagi mengikuti kursus menjahit ini.

“Walaupun kurang minat dengan menjahit, apabila memikirkan kursus lain seolah-olah tidak punya masa depan lebih cerah buat saya, saya nekad meneruskannya hingga tamat latihan,” jelasnya.

Dia memulakan hidup baru bersama wanita pujaan hatinya yang juga orang kelainan upaya (OKU), Rohani Jaafar, dengan menamatkan zaman bujang pada 1987 ketika usianya 30 tahun.

Bermulalah kehidupan mereka membina mahligai bahagia sebagai pasangan suami isteri. Sejak itu, mereka menggunakan kemahiran menjahit dan mengambil tempahan baju di rumah.

Nasibnya bertambah baik apabila menerima bantuan dua mesin jahit daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), bagi memudahkan mereka menjana pendapatan dengan mengambil upah menjahit baju.

“Selepas kira-kira enam tahun menjahit di rumah, kami mengambil keputusan untuk membuka kedai pada 1993 di Taman Keramat, Kuala Lumpur sehinggalah ke hari ini.

“Kedai jahit yang dikenali dengan nama Ani Fesyen ini turut menerima tempahan baju lelaki dan perempuan. Memang permintaan pelanggan tidak pernah putus sejak dulu lagi,” katanya.

Menceritakan kembali detik pertama kali bergelar ayah, Suhairi berasa begitu gembira. Namun, di sebalik kegembiraannya itu ada keperitan yang harus dilalui bapa tabah ini bersama isterinya.

“Semasa anak perempuan sulung saya masih kecil, kami tidak mempunyai pengangkutan lain selain daripada motosikal saja. Agak sukar bagi kami membawa motosikal untuk menjalani pemeriksaan anak di klinik.

“Memandangkan kami berdua tidak mampu berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda untuk bergerak, saya terpaksa memilih untuk menaiki teksi ke klinik,” kata anak bongsu daripada lapan beradik ini.

Hanya selepas 17 tahun menjalankan perniagaan jahitan, barulah Suhairi dapat menaiki kereta sendiri. Ia juga sekali gus memberi kemudahan buat dirinya sekeluarga melawat serta menghantar anak-anak ke sekolah atau universiti.

Malah, Suhairi turut membelikan kereta untuk anak sulungnya bagi memudahkan mereka berjumpa ketika hujung minggu memandangkan anak sulungnya itu kini menyambung pengajian di universiti.

Tegasnya, walaupun hidup mereka berdua OKU, itu tidak bermakna perlu meraih simpati daripada orang lain. Baginya, dia harus berusaha sedaya upaya untuk memastikan ahli keluarganya mendapat kehidupan yang sempurna walaupun bukan dalam keadaan berada.

Dia juga sangat bersyukur kerana kedua-dua anaknya dilahirkan normal dan memastikan tanggungjawabnya dapat dilaksanakan dengan baik.

“Apabila sudah menjadi bapa, saya kena tahu mengenai tanggungjawab dan berusaha menjadikan anak-anak hidup dalam keadaan baik dengan keperluan mencukupi.

“Disebabkan kesedaran itu, saya dan isteri tidak mahu kekurangan diri kami membuatkan anak-anak menjadikannya sebagai kekurangan pada diri mereka.

“Saya sentiasa ingatkan pada anak-anak mereka juga mampu menikmati kesenangan yang orang lain lalui malah kadangkala melebihi rakan mereka yang lain,” jelasnya yang turut memiliki perniagaan membaiki basikal dan mengubah suai kenderaan OKU.

Tambah membanggakannya, kedua-dua anaknya memahami kekurangan yang ada pada diri ayah serta ibu mereka sekali gus tidak mahu meminta perkara yang menyusahkan dia dan isteri.

Atas berkat usaha gigih mencari pendapatan untuk anak-anak selain memberi galakan mencapai kejayaan, kini Suhairi berbangga kerana anak sulungnya berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dalam jurusan perakaunan.

Walaupun Suhairi hanya berjaya menamatkan zaman persekolahan sehingga darjah empat, itu tidak bermakna dia harus mengambil ringan soal pendidikan anaknya. Dia sering berpesan kepada mereka pelajaran mampu mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

Malah, dia turut menggalakkan anak-anaknya untuk menjadi sukarelawan agar mereka dapat melakukan kerja kebajikan sekali gus membantu masyarakat dan negara.

Menariknya, Suhairi yang juga Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia yang mempunyai kira-kira 300 ahli seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak juga banyak memberi sokongan kepada ahlinya untuk terus maju.

“Saya mahukan golongan OKU lain juga berjaya kerana sesetengahnya ada yang hidup dalam keadaan terumbang-ambing. Justeru, kami memberi ruang untuk bersama-sama berjuang dengan mereka.

“Disebabkan itu, kami banyak membuat aktiviti bersama bagi membantu ahli dari segi peralatan pergerakan, sokongan dan pendapat bagi mencari jalan penyelesaian untuk membuka perniagaan.

“Selain itu, setiap tahun juga persatuan ada melakukan kejohanan boling yang membabitkan semua kaum,” kata bekas Exco Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia itu.

Baginya, semua orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Setiap cabaran pasti ada jalan untuk dilalui kerana kesusahan tidak boleh dielak walaupun terdapat kekurangan pada diri sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.