Suri hidap penyakit kulit misteri kini beransur pulih
Tompok-tompok merah kelihatan sehingga atas kepala sewaktu Tuan Syarifah Suri berusia beberapa bulan.
Suri hidap penyakit kulit misteri kini beransur pulih
Rohana dan suami, Syed Zainal gembira melihat kulit Suri kian sembuh daripada penyakit kulit misteri dihidapinya.
HULU TERENGGANU - “Hanya ALLAH SWT mengetahui rasa syukur dan gembira setelah melihat anak bongsu saya ini dapat tidur lena sejak dua minggu lalu, setelah tidak merasai nikmat itu (tidur lena) lebih dua tahun lalu akibat penyakit kulit misteri dihidapinya,” cerita Rohana Mahasan, 36.
Menurut Rohana, permata hatinya itu kini bukan sahaja tidak lagi menangis kegatalan sambil tangan serta kaki terus menggaru di seluruh badan, tetapi kini Tuan Syarifah Suri, 3, sudah dapat berlari, menikmati detik bahagia seorang kanak-kanak.

“Anak ketiga saya ini tidak pernah tidur lena walaupun satu malam sejak dilahirkan. Naluri saya benar-benar tersentuh apabila melihat darah menitis daripada kulit kerana kehidupannya sebelum ini hanya sekadar menggaru.

“Malah, jika bahagian kakinya berkudis, dia hanya mampu duduk sambil tangan dan kakinya terus menggaru kerana gatal. Dia (Suri) juga tidak boleh terlalu terdedah kepada cuaca panas mahupun terkena pendingin hawa.

“Namun, sejak dua minggu lalu saya dan suami, Syed Zainal Tuan Daik, 46, mungkin ibu bapa paling gembira di dunia ini kerana penyakitnya dilihat beransur pulih setelah disapu ubat berasaskan buah kulim keluaran sebuah syarikat dari Pasir Mas, Kelantan.

“Ubat sapu berharga RM5 sebekas ini memberikan tindak balas positif setelah tiga hari disapu. Kudis di tubuhnya kian kering serta hilang. Lebih menggembirakan saya dan suami, malam itu adalah malam pertama Suri dapat tidur lena sejak dilahirkan,” katanya.

Kegembiraan itu dikongsi bersama Sinar Harian yang berkunjung ke rumahnya di sini, semalam bagi mengetahui perkembangan kesihatan Tuan Syarifah Suri setelah kisah penderitaan kanak-kanak ini disiarkan akhbar ini Ogos tahun lalu.

Penjual ubat beri percuma

Tambah Rohana, dia menemui penawar penyakit anaknya itu secara tidak langsung ketika berkunjung ke Pasar Pagi (Hari Giliran) Kuala Berang dua minggu lalu, dan disarankan mencuba ubat sapu tersebut setelah peniaga berkenaan melihat keadaan Suri.
“Peniaga ubat tersebut memberikannya secara percuma sebekas ubat sapu tersebut dan menyuruh saya mencuba terlebih dahulu. Tiga hari selepas itu kesan positif dapat dilihat, sehingga kini saya telah membelinya sebanyak empat bekas dengan harga RM20.

“Melihat kudisnya kian hilang, Suri juga dapat berlari dan tidur lena pada waktu malam, saya berdoa mudah-mudahan keadaan positif ini berkekalan agar dia dapat melalui kehidupan sehariannya sebagaimana kanak-kanak lain.

“Jika dikira, sudah ribuan ringgit telah dibelanjakan bagi merawat Suri termasuk menggunakan rawatan alternatif serta khidmat pakar kulit, tetapi belum berhasil, selain keadaannya hanya sekadar bertahan, bukannya sembuh,” ujarnya.

Ramai beri kata semangat

Kata Rohana lagi, sejak kisah anaknya itu disiarkan Sinar Harian Ogos tahun lalu, ramai yang prihatin terhadap nasibnya itu sehinggakan dia bukan sahaja menerima kata-kata sokongan, tetapi juga cadangan tempat berubat selain menerima ubat melalui kiriman.
“Ramai individu hubungi saya setelah membaca kisah mengenai anak saya dalam Sinar Harian termasuk dari Pulau Pinang. Malah, mereka turut mengesyorkan tempat-tempat untuk berubat dan ada juga yang memberikan ubat untuk Suri.
“Saya dan suami tidak putus-putus berusaha bagi melihat dia sembuh, tetapi ALLAH masih ingin menguji kami kerana ubat tersebut tidak serasi dengan anak saya sehinggalah kami temui ubat sapu dijual di Kuala Berang baru-baru ini.
“Kecaknaan dan keprihatinan orang ramai terhadap nasib anak saya ini membuatkan saya benar-benar terharu. Hanya terima kasih mampu diucapkan atas usaha mereka membantu
Suri termasuk Sinar Harian serta Datuk Rosol Wahid (bekas Adun Ajil).

“Ada juga hubungi saya berkongsi kisah yang sama. Semua itu secara tidak langsung berikan saya dan suami lebih kekuatan untuk hadapi ujian-NYA ini selain tidak berputus asa
berusaha mencari penawar,” katanya.