Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
Rosnaini tetap tabah membesarkan Damia dan memberikannya pelajaran.
HULU TERENGGANU: Tanggal 31 Ogos yang lepas mencatat sejarah
tersendiri kepada sepasang suami isteri Rosnaini Mohamad dan Dr Daeng
Malis Ab Kahar apabila dapat bertemu dengan pakar motivasi terkenal dari
Australia, Nick Vujicic.
Bukanlah kerana personaliti hebat itu seorang yang terkenal di
seluruh dunia, namun pertemuan itu disifatkan Rosnaini sebagai hadiah
daripada Allah yang mahu beliau terus tabah dalam membesarkan insan
teristimewa dalam kehidupan mereka sekeluarga iaitu Nur Damia Irsalina.
Anak ketiga daripada empat beradik yang berusia enam tahun itu lahir tanpa kaki dan tangan, sama seperti pakar motivasi itu.
"Enam tahun saya menunggu, memasang impian, tak berhenti berdoa agar
kami dapat bersua dengan Nick Vujicic dan memperoleh kekuatan berganda
untuk terus membimbing anak saya seorang yang mampu memberi sumbangan
kepada agama, bangsa dan negara apabila beliau dewasa kelak.
"Setiap hari, tanpa jemu saya tontonkan kepada anak saya video pakar
motivasi itu yang dapat menjalani kehidupan sama seperti manusia normal
lain agar dia terus kuat dan tabah," katanya memulakan bicara ketika
dikunjungi Bernama di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, kira-kira 30
kilometer dari Bandar raya Kuala Terengganu.
Mengimbas semula kenangan manis sewaktu melahirkan Kak Nik (nama
timangan Nur Damia Irsalina) pada 30 Jun, 2007, Rosnaini berkata
semuanya berjalan lancar sepanjang kehamilan.
Mimpi lahir anak istimewa
Cuma saya perasan, pergerakan bayi dalam kandungan ketika itu agak
perlahan, tiada tendangan yang kuat seperti ketika saya mengandungkan
dua lagi kakaknya sebelum itu, kata jururawat itu.
Damia bejalar menulis menggunakan kakinya.
"Malah, dua malam sebelum kelahiran Kak Nik, saya bermimpi mendengar
suara yang menyatakan saya akan melahirkan anak istimewa, namun bila
saya tanya apa dan bagaimana, suara misteri itu hanya menyuruh saya
melihat bayi itu sendiri selepas dilahirkan.
"Hampir waktu bersalin, doktor memaklumkan saya perlu dibedah kerana
kedudukan bayi yang masih songsang, namun sebaik tiba di bilik
pembedahan, saya terus berasa sakit dan mampu melahirkan Kak Nik secara
normal dengan mudah", katanya tersenyum apabila mengingati semula detik
penuh bermakna dalam kehidupan seorang wanita.
"Doktor, bagaimanapun menunggu kehadiran seorang lagi doktor pakar
sebelum menyerahkan Kak Nik kepada saya dan apabila disuruh bersabar dan
bersyukur terpilih sebagai insan bertanggungjawab memelihara anak
istimewa, saya mula berdebar-debar.
"Saya tergamam apabila melihat bayi saya ketika itu, namun entah
bagaimana datangnya kekuatan, tiada setitik air mata yang berlinang,
sebaliknya saya terus mendakap Kak Nik dan mencium wajah comelnya, sama
seperti anak lain," katanya yang hanya mula menangis kesedihan apabila
memikirkan masa depan puteri ketiganya itu yang terpaksa hidup sebagai
insan kurang upaya.
Ketika wanita lain yang menjalani proses berpantang ceria bersama
bayi mereka, Rosnaini terus dirundung duka memikirkan masa depan bayinya
itu yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran hidup sebagai insan
istimewa.
Kehadiran si suami yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan
nasihat sedikit sebanyak mampu merawat duka yang terpendam sehinggalah
pada Disember 2007, ketika Kak Nik berusia empat bulan, pasangan ini
menonton video mengenai Nick Vujicic yang memaparkan kemampuannya
berdikari.
Vujicic turut dilahirkan tanpa kaki dan tangan tetapi aktif menjalani
kehidupan seperti biasa dan sehinggakan beliau memberi motivasi kepada
mereka yang lain.
Video itu menunjukkan betapa gembiranya Vujicic mempamerkan
kehebatannya berenang, meluncur ombak dan bermain segala bentuk jenis
sukan dan menikmati hidup sama seperti insan normal lain.
"Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya saya ketika itu dan saya
menangis keriangan kerana buat pertama kalinya saya melihat masih ada
sinar untuk anak saya di dunia ini.
Papan roda ini digunakan untuk bergerak.
"Sejak itu, saya mula mengikuti perkembangan Vujicic, termasuk kisah
peribadinya, kerjayanya dan kecemerlangannya yang menjadi sumber
inspirasi kepada kami sekeluarga," katanya tersenyum. Seiring tumbesaran
Kak Nik, saya sentiasa mengingatkan kepadanya agar bersyukur kerana
dipilih Allah untuk diuji sebegini.
Walaupun ada kalanya Rosnaini yang hampir berputus asa dan setiap
kali melihat beliau menangis, Kak Nik pula yang memujuknya agar jangan
bersedih dan berjanji akan menjadi insan terbaik dalam hidup ini.
Apabila mengetahui Vujicic datang ke Kuala Lumpur pada Ogos lepas,
pasangan ini terus ke ibu negara untuk bertemu sendiri dengan idola
mereka selama ini.
Walau dalam kesamaran, tidak mahir selok-belok jalan raya di ibu
kota, dengan berpandukan GPS mereka menghala ke tempat Vujicic
menyampaikan ceramahnya.
"Malangnya kami tidak dibenarkan masuk ke gereja tempat Vujicic
berceramah atas alasan kami orang Islam, namun kami terus menunggu
kelibatnya di luar dan berhasrat mahu mengekorinya hingga ke hotel
penginapan agar dapat memenuhi hajat kami yang mahu bertentang mata
dengannya.
"Memang rezeki kami, sebaik Vujicic keluar, kami terus mengekori
rapat van yang dinaikinya sehingga van itu berhenti di sebuah stesen
minyak dan di situlah kami sekeluarga berlari ke arah van itu untuk
menyatakan hasrat kami kepada Vujicic," katanya yang gembira apabila
selebriti itu meluangkan masa untuk meraikan mereka dengan makan malam
di hotel.
Vujicic banyak bercerita tentang pengorbanan ibunya kepada Rosnaini
di mana segala cabaran yang dilalui adalah sama seperti pengalaman
jururawat ini yang akhirnya berjaya menyuntik semangat luar biasa untuk
beliau terus melakukan yang terbaik buat Kak Nik.
"Mata Kak Nik bersinar-sinar sepanjang pertemuan itu dan kelihatan
beliau sangat teruja melihat sendiri idolanya berada di depan mata,
umpama mimpi menjadi kenyataan.
"Vujicic juga sempat memberi kata-kata semangat untuk Kak Nik yang
direkod dalam video dan beliau pesan agar kami menayangkan video itu
kepada Kak Nik apabila beliau dewasa kelak," katanya yang sangat gembira
apabila Kak Nik mula menunjukkan perubahan ketara selepas pertemuan
itu.
Terkilan pandangan negatif masyarakat
Mengakui membesarkan Kak Nik sebagai pengalaman paling manis dalam
hidupnya, ibu kepada empat cahaya mata ini bagaimanapun masih terkilan
dengan pandangan negatif masyarakat terhadap insan OKU.
Masih terdapat diskriminasi terhadap OKU dan jika dibandingkan
penerimaan orang Barat dengan masyarakat kita, umpama langit dengan
bumi, keluh Rosnaini apabila teringat kembali kegagalannya mendapatkan
peruntukan khas untuk OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan
alasan beliau dan suaminya bekerja.
Suaminya, Dr Daeng Malis yang juga seorang doktor perubatan di klinik
Universiti Malaysia Terengganu pula berharap masyarakat tidak terus
memandang serong kepada OKU seolah-olah kehadiran golongan ini
membebankan mereka.
Nick Vujicic (kiri) yang turut dilahirkan sebagai OKU memberi semangat kepada Damia.
"Lain pula, dengan masyarakat luar negara yang begitu prihatin dengan
kebajikan OKU dan sanggup mendahulukan keselesaan mereka dalam apa juga
perkara," katanya.
Ketika ini, Kak Nik bersekolah di Tadika Kemas Kampung Kuala Telemong
dan dia mampu mengenal abjad, menulis nama sendiri menggunakan tangan
atau kaki serta menghafaz ayat Kursi dan beberapa surah lazim yang lain.
Bagaimanapun, kecerdasan Kak Nik seakan tidak bermakna apabila
permohonannya untuk memasuki sebuah sekolah di tempat tinggalnya
seolah-olah dipandang acuh tidak acuh oleh pihak pengurusan sekolah
berkenaan.
"Anak kami tidak boleh belajar di sekolah khas kerana ia hanya
khusus untuk anak istimewa yang melibatkan masalah lembam pembelajaran
sedangkan Kak Nik telah disahkan doktor pakar sebagai seorang yang mampu
belajar seperti kanak-kanak normal lain.
"Ini yang sangat saya risaukan kerana penggal persekolahan 2014 akan
bermula dua bulan lagi sedangkan permohonan kami untuk menghantar Kak
Nik ke sekolah itu hanya dilayan hambar umpama melepaskan batuk di
tangga," katanya. Lebih menghairankan Rosnaini apabila beliau membaca
berita ada sekolah-sekolah yang sanggup menerima OKU, cuma komitmen guru
yang menjadi penghalang ketika ini.
"Ada yang menyarankan kami agar mengupah guru datang mengajar di
rumah, itu bukan yang kami mahukan kerana Kak Nik perlu bergaul dengan
kawan-kawan di sekolah, malah kami akan menyediakan pembantu untuk
membantu pergerakan Kak Nik di sekolah untuk ke tandas dan kantin,"
katanya yang jelas kecewa dengan layanan pihak sekolah terbabit.
Mahu jadi pendidik
Anak kecil itu pula apabila ditanya cita-citanya, pantas menjawab
mahu menjadi seorang pendidik apabila dewasa nanti. "Kak Nik pun nak
jadi macam Nick Vujicic, pandai...suka nasihat orang," katanya malu
malu.
Walaupun sedar dengan kekurangan diri, anak kecil ini ternyata kuat
semangat dalam meneruskan hidup dengan berdikari dan ramah dengan
kawan-kawan di sekolah. "Jika Australia ada Vujicic, kami mahu Malaysia
juga berbangga dengan Kak Nik yang akan kami beri didikan sempurna
untuknya," kata Rosnaini dengan penuh harapan.
Harapan ibu bapa Kak Nik hanya satu, agar tiada diskriminasi
terhadap puteri kesayangan mereka dalam menimba ilmu di sekolah dan
harapan itu masih utuh dalam titipan doa mereka sehingga kini. -
sesungguhnya terdapat ibrah bagi kaum yang ingin mengambil pelajaran..al-Aayah
sumber : http://mstar.com.my/variasi/rencana/cerita.asp?file=/2013/11/12/mstar_rencana/20131112181724&sec=mstar_rencana